Thursday, February 3, 2011



 Gabungan parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menamakan diri mereka sebagai Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir akan membuat tiga desakan terhadap Amerika Syarikat, Jumaat ini.

Desakan itu akan dibuat dalam himpunan besar-besaran bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat 4 Februari ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat berkata, tiga desakan tersebut ialah menggesa Amerika berundur dari Mesir, tidak campur tangan dalam urusan rakyat Mesir memilih pemimpin mereka serta mendesak seluruh dunia memberi tekanan kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak agar meletakkan jawatan.

"Kita mengajak seluruh rakyat untuk menyertai himpunan yang akan bermula di Masjid As-Syakirin KLCC selepas solat Jumaat.

"Kita akan berarak dari masjid menuju ke kedutaan Amerika Syarikat dan akan disertai oleh beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Menurutnya yang juga pengarah himpunan tersebut, sebanyak lebih 50 NGO telah menyatakan persetujuan untuk turut sama dalam himpunan yang dijangka akan dihadiri lebih 1,000 orang itu.

Antaranya Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Citizens International, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) dan lain-lain pertubuhan.

Tambahnya, mereka turut mempelawa BN dan parti komponennya serta NGO di bawahnya untuk menyertai himpunan ini kerana ianya merupakan isu nasional tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

"Kita mengajak pertubuhan lain yang barangkali tak bersama hari ini seperti Umno, MCA, MIC dan pertubuhan-pertubuhan bukan Islam juga digalakkan untuk hadir. Ini merupakan isu besar yang memerlukan sokongan semua pihak tanpa mengira politik dan agama," katanya.
NOTA:

Berkumpul jam 1.30 hari di Masjid KLCC

Bergerak dari Masjid KLCC pada jam 2.00

Semua dijemput datang untuk menunjukkan
setiakawan dengan warga Mesir.